Dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk
bersila di dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W datang dan masuk
sambil memberi salam kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan
memuliakannya sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam
rumah. Nabi S.A.W bersabda, "Duduklah di tempat duduk, tidak usahlah
berdiri, wahai Ummul Mukminin." Maka Rasulullah S.A.W duduk sambil
meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan tertidur.
Maka aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku dapat 19 rambut yang
sudah putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata,
"Sesungguhnya baginda akan meninggalkan dunia ini sebelum aku sehingga
tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku menangis
sehingga mengalir air mataku jatuh menitis pada wajah baginda. Baginda
terbangun dari tidurnya seraya bertanya, "Apakah sebabnya sehingga
engkau menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa aku ceritakan kisah tadi
kepadanya, lalu Rasulullah S.A.W bertanya, "Keadaan bagaimanakah yang
hebat bagi mayat?" Kataku, "Tunjukkan wahai Rasulullah!" Rasulullah
S.A.W berkata, "Engkaulah katakan!," Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada
keadaan lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari rumahnya di
mana anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya. Mereka
sama-sama berkata, "Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula mengatakan:
"Aduhai anak!" Rasulullah S.A.W bertanya lagi: "Itu juga termasuk hebat.
Maka, manakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah r.a :
"Tidak ada hal yang lebih hebat daripada mayat ketika ia diletakkan ke
dalam liang lahad dan ditimbuni tanah ke atasnya. Kaum kerabat semuanya
kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan para kekasihnya semuanya
kembali, mereka menyerahkan kepada Allah berserta dengan segala amal
perbuatannya." Rasulullah S.A.W bertanya lagi, "Adakah lagi yang lebih
hebat daripada itu?" Jawab Aisyah, "Hanya Allah dan Rasul-Nya saja yang
lebih tahu." Maka bersabda Rasulullah S.A.W : "Wahai Aisyah,
sesungguhnya sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang yang
memandikan masuk ke rumahnya untuk emmandikannya. Maka keluarlah cincin
di masa remaja dari jari-jarinya dan ia melepaskan pakaian pengantin
dari badannya. Bagi para pemimpin dan fuqaha, sama melepaskan serban
dari kepalanya untuk dimandikan. Di kala itu rohnya memanggil, ketika
ia melihat mayat dalam keadaan telanjang dengan suara yang seluruh
makhluk mendengar kecuali jin dan manusia yang tidak mendengar. Maka
berkata roh, "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana
Allah, lepaskanlah pakaianku dengan perlahan-lahan sebab di saat ini
aku berehat dari kesakitan sakaratul maut." Dan apabila air disiram
maka akan berkata mayat, "Wahai orang yang memandikan akan roh Allah,
janganlah engkau menyiram air dalam keadaan yang panas dan janganlah
pula dalam keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar dari sebab lepasnya
roh," Dan jika merea memandikan, maka berkata roh: "Demi Allah, wahai
orang yang memandikan, janganlah engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab
tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh." Apabila telah selesai dari
dimandikan dan diletakkan pada kafan serta tempat kedua telapaknya
sudah diikat, maka mayat memanggil, "Wahai orang yang memandikanku,
janganlah engkau kuat-kuatkan dalam mengafani kepalaku sehingga aku
dapat melihat wajah anak-anakku dan kaum keluargaku sebab ini adalah
penglihatan terakhirku pada mereka. Adapun pada hari ini aku dipisahkan
dari mereka dan aku tidakakan dapat berjumpa lagi sehingga hari
kiamat." Apabila mayat dikeluarkan dari rumah, maka mayat akan menyeru,
"Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi
janda, maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi
yatim, janganlah menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari ini aku akan
dikeluarkan dari rumahku dan meninggalkan segala yang kucintai dan aku
tidak lagi akan kembali untuk selama-lamanya." Apabila mayat
diletakkan ke dalam keranda, maka berkata lagi mayat, "Demi Allah,
wahai jemaahku, janganlah kamu percepatkan aku sehingga aku mendengar
suara ahliku, anak-anakku dan kaum keluargaku. Sesungguhnya hari ini
ialah hari perpisahanku dengan mereka sehingga hari kiamat."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar